1/15/2010

Bagaimana Gerhana Terjadi

2:42 PM By ,



Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya (ketika berlaku gerhana) digunakan oleh Allah untuk menakutkan (memberi amaran) kepada para hambaNya dan keduanya tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang di antara manusia. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka dirikanlah sembahyang dan berdoalah kepada Allah sehinggalah Allah meneranginya semula kepada kamu (Sahih Muslim)

Perkara-Perkara Yang Disunatkan Ketika Menghadapi Gerhana

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkad atau pun sunat yang digalakkan sebagaimana difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!!

Cara Bacaan Ketika Solat Gerhana

Pertama : Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaannya adalah secara perlahan atau senyap berdasarkan hadis daripada imam Tarmizi daripada Samurah bin Jundub telah berkata : Nabi s.a.w telah sembahyang dengan kami pada kusuf (gerhana matahari) tidak didengari baginya suara.

Kedua : Bagi solat sunat gerhana bulan pula, bacaaannya adalah secara kuat menurut hadis diriwayatkan daripada imam Bukhari dan Muslim daripada 'Aisyah: Nabi s.a.w telah membaca secara kuat dalam solat khusuf (gerhana bulan) dengan bacaannya.

Bagaimana Gerhana Terjadi

Gerhana matahari berlaku apabila bulan yang sedang dalam perjalanannya mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari, dan bayangnya terkena pada permukaan bumi, maka terjadilah gerhana. Gerhana matahari hanya dapat berlaku ketika bulan baru, kerana pada masa itu bulan berada di sebelah bumi menghadap matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana kedudukan bulan adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari.

Gerhana Matahari boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu:

Gerhana Matahari Penuh

Gerhana matahari penuh berlaku apabila seluruh bulatan matahari ditutupi oleh bulatan bulan. Dengan kata lain, ketika saat gerhana matahari penuh ini, ukuran bulan dilihat sama besar atau lebih besar dari bulatan matahari.

Gerhana Matahari Cincin

Gerhana matahari cincin berlaku apabila keseluruhan bulatan bulan menutupi matahari. Namun disebabkan kedudukan bulan dan matahari, dan saiz bulan yang kecil berbanding matahari, maka bulatan matahari tidak tertutup secara penuh. Kesannya terdapat sinaran cahaya matahari yang membentuk seperti cincin kelihatan dengan jelas.

Gerhana Matahari Sebahagian

Gerhana matahari sebahagian terjadi ketika mana saat puncak gerhana, tidak seluruh piringan bulan menutupi piringan matahari. Hanya sebahagian daripada bulan sahaja yang menutupi matahari.

Gerhana bulan pula hanya boleh berlaku ketika bulan purnama. Ketika itu bulan berada bersetentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari. Ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang.

Gerhana Bulan boleh dibahagikan kepada:

Gerhana Bulan Penuh

Gerhana bulan penuh berlaku apabila keseluruhan bulatan Bulan masuk ke dalam bayangan umbra bumi. Pada ketika ini, kita dapat melihat bayangan bumi pada bulan. Tempoh gerhana bulan penuh ini boleh mencapai sehingga lebih daripada 1 jam 47 minit.

Gerhana Bulan Sebahagian

Gerhana bulan sebahagian berlaku apabila sebahagian bulan sahaja yang masuk ke dalam umbra bumi, dan sebahagian lagi berada dalam bayangan penumbra bumi pada saat kemuncak fenomena ini berlaku.

Gerhana Bulan Penumbra

Manakala gerhana bulan penumbra berlaku ketika mana bulan keseluruhannya masuk ke dalam penumbra bumi. Gerhana jenis ini tidak membawa sebarang perubahan dalam proses kenampakan bulan itu sendiri. Ini kerana pada gerhana bulan jenis ini, kenampakan gerhana hampir-hampir tidak dapat dibezakan dengan bulan purnama biasa.